Monday

Kawan Saya: Khumaini dan Aizat (Part 2)

Semua aktiviti bebas yang dijalan kan budak-budak kelas darjah 6 Anggerik terpaksa dihentikan bila sahaja kedengaran bunyi kasut kulit milik Cikgu Dolah. Bunyi sahaja masing-masing dah tahu itu adalah Cikgu Dolah. Gaya langkahnya yang suka menyeret menguatkan lagi syak wasangka budak-budak kelas. Lepas ni masing-masing terpaksa tak boleh bercakap selama 45 minit untuk kelas Bahasa Melayu. Bukan garang pun Cikgu Dolah tu. Suara saja yang lantang lebih. Cair tahi teling wa kalau nak diikutkan. Saja buat-buat tahan bingit. Wa tahu Cikgu Dolah ni tak garang lepas saja wa ternampak dia pulang dari sekolah dengan motor Yamaha SS II warna biru gelapnya. Tiada gaya rider langsung. Helmet full face warna kelabu corak api-api. Peha dirapatkan di bakul motor. Duduk pula kalau boleh nak duduk dalam bakul motor. Boleh muat lagi 6 orang budak darjah 1 kalau nak digambarkan kekosongan seatnya tu.


Tika masing-masing mentelaah buku teks KBSR Bahasa Melayu Darjah 6 yang majoritinya adalah dari Skim Pinjaman Buku Teks, wa dan Shahrulnizam telah pun berada di tepi padang sekolah. Lepak-lepak bawah pokok. Ah.. tiada siapa yang nak tangkap pengawas macam kami ni kalau kami lepak-lepak di tepi padang. Tapi kami bukan lepak kosong. Kami lepak ada tujuan. Kami tunggu budak-budak kompang yang lain. Wa memang dah diajar sejak dari dalam perut mak wa, kalau berjanji biar tepati. Training kompang pukul 11.30 pagi. Tapi dah 11.40. Sorang pun aku tak nampak kecuali Shahrulnizam saja dari tadi yang sibuk pijak akar pokok besar tepi padang. Entah apa motif, wa pun tak tahu. Tak lama lepas tu, budak-budak kompang pun datang dengan Cikgu Hamzah yang dipertanggungjawabkan untuk melatih budak-budak ni termasuk wa. Entah macam mana entah dia dapat tender mengajar kompang pun wa tak tahu. Padahal dia cikgu Kemahiran Hidup. Mungkin matapelajaran Kemahiran Hidup ada buat kompang agaknya.


Dari tepi padang tempat kami berkumpul, memang boleh nampak dengan jelas keadaan dalam kelas wa tu. Ah.. sekolah bukan besar mana pun. Lagi besar Jusco Tebrau City. Tak ada dewan. Kalau ada majlis-majlis PIBG atau perpisahan guru besar, dinding kelas-kelas di bawah akan di buka supaya menjadi satu dewan besar. Dinding papan. Apa ada hal. Pentasnya pula dari meja-meja yang disusun banyak-banyak. Kemudian ditutup dengan kain merah. Mak bapak pun tertipu. Ingat pentas betul. Wa ingat lagi..kat pentas tu la wa baca sajak "Wawasan 2020" yang membawa wa ke peringkat daerah. Sayangnya..peringkat daerah wa kalah sebab ada budak perempuan sekolah mana entah bawa sajak pasal ibu. Siap menangis-nangis masa baca sajak. Konon deep habis la. Terus dia menang. Wa nombor dua. Piala dan hamper lagi kecil sedikit dari dia. Hamper dia lagi besar maknanya jajan dia lagi banyak. Ah.. buakn wa tak tau.. air mata tu politik dia nak menang tu. Cilakak.


Masuk lagu kedua, lagu hadrah dari kompang jawa, kepala wa lagi sekali menjenguk ke kelas. Kelas normal. Tiada sebarang kebisingan yang didengari. Cikgu Dolah pula wa nampak berjalan ke kiri ke kanan dengan buku teksnya. Main kompang tengah panas bukan senang seperti yang disangka. Lagi pula main kompang nak siap dengan formasi. kalau formasi 4-4-2 atau 3-5-3 tu takpa juga. Ini formasi tak ubah macam marching band saja. Main kompang, formasi sambil menyanyi lagu hadrah. Kecik-kecik dah diajar multi-tasking. Tak mustahil la bila wa dah besar sekarang ni, tiada masalah untuk wa multi-tasking. Contoh multi-tasking yang wa kerap buat bila besar ni ialah pertama; wa tengah stone. Kedua; wa bercakap di telefon. Ketiga; wa tertidur sambil pegang telefon. Memang tak sia-sia la kecil-kecil dah diajar multi-tasking.


Masuk kali ketiga wa jenguk kepala ke kelas, wa rasa lain macam. Kenapa siling kelas wa macam warna hitam. Biasanya warna putih. Hitam ke berlubang? Wa musykil. Hati wa nak cepat abis training hari ni. Tangki air jatuh ke? Atau budak-budak baling cat hitam kat siling? Hati wa tak keruan.




Bersambung lagi......

2 comments:

en_me said...

bayang bayang hitam tewww.. uhuhu

lomokids.SHOP said...

sape tah yang insaf nih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...